Kejayaan dalam Kegagalan

Posted on December 13, 2010

27



Assalamualaikum…
Sekejap saja dah hari Ahad. Masa kini berjalan dengan pantas. Adakah kita juga sepantas masa yang berjalan? Dari hari ke hari, kita senantiasa memikirkan apa yang akan kita buat bagi menjamin periuk nasi dan hidup kita berjalan dengan lancar. Pelbagai strategi diatur bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku. Tapi benarkah segala yang kita rancang akan menjadi?
Dalam setiap strategi yang diatur, kita mengharapkan hasil pulangan yang terbaik. Tetapi ada kalanya ia tidak berlaku. Pernahkah ia berlaku pada diri anda? Apa yang anda buat jika ia berlaku pada anda?
Sekarang pasti ramai yang dah tahu keputusan peperiksaan sama ada universiti atau peperiksaan sekolah. Ada sebahagian yang gembira dan ada sebahagian yang tertanya-tanya…adakah ini hasil yang diperoleh setelah bertungkus-lumus selama setahun? Ada juga segelintir yang tidak kisah keputusan yang diperoleh. Bagi yang berjaya, tahniah diucapkan. Bagi yang kurang berjaya, mari kita teliti serba sedikit.
” Saya dah lakukan yang terbaik. Tapi kenapa masih tak berjaya?”
” Siang malam saya belajar, tapi masih tiada peningkatan…Bodoh sangatkah aku ini?”
“Apa yang tak cukup, aku dah rancang dengan teliti sekali. Tak mungkin gagal!”
Pernah situasi di atas berlaku pada diri sendiri? Kali ini Si Tukang Tulis nak bawa anda lihat dari satu perspektif yang berbeza. Mungkin kita berasa sedih dengan kegagalan yang di hadapi. Tapi, percayakah kita bahawa di sebalik kegagalan terdapat kejayaan? Tapi tak ramai yang menyedarinya kerana tenggelam dengan kegagalan…Ingatlah, kegagalan hanya sedikit berbanding kejayaan yang telah lama melemaskan kita!
Secara mudahnya, apabila berjaya, kita jarang memikirkan kegagalan yang bakal kita hadapi. Maka kita sering terlupa untuk berwaspada jika satu hari kita menemui kegagalan. Hari ini kita rasa gembira dengan kejayaan kita, tetapi kita patut mengingati kegagalan yang dihadapi oleh orang disekitar kita. Begitulah sebaliknya agar kita tidak lemas dengan nikmat yang dikurniakan sementara itu. Apabila gagal pula, kita perlu lihat kejayaan orang di sekitar kita dan mengambil iktibar darinya. Dengan cara ini, kita akan terus menjadi orang yang berwaspada dengan kegagalan dalam kejayaan dan kejayaan dalam kegagalan.
Masksud Si Tukang Tulis, apabila kita gagal, hanya kita sahaja yang tahu keperitan kegagalan dan kita sepatutnya berazam untuk tidak merasainya lagi. Ini seterusnya membawa kita untuk melihat kenapa kita gagal, Kenapa orang lain berjaya, Apa yang kurang pada diri dan apa yang lebih pada orang yang telah berjaya. Dalam istilah Si Tukang Tulis, troubleshoot…atau muhasabah diri🙂
Kebolehan untuk troubleshoot inilah satu kejayaan yang dimaksudkan. Kenapa? Kerana ia menunjukkan kita sudah bersedia untuk menaiki anak-anak tangga kejayaan. Mereka yang mengabaikan sifat ini akan terus jatuh tergolek dengan anak-anak tangga kegagalan.
Satu lagi aspek yang sering kita lupa ialah bersangka baik dengan Yang Maha Esa. Apabila menemui simpang kegagalan, janganlah kita bersangka buruk seperti Allah tak sayang kita dan sebagainya. Percayalah Allah sayang hamba-hambanya dan tak pernah mengabaikan hambanya. Hanya hambanya yang sering mengabaikan Keesaan Allah. Katakanlah, “Allah nak uji diri ini untuk tambahkan usaha dan banyak lagi meminta dari-Nya”.
Dalam satu firman Allah dalam Al-Quran, Allah ada menerangkan bahawa kita merancang dan Allah juga merancang. Tapi pada hakikatnya, perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan.
Maka, janganlah sedih apabila gagal. Tapi senyumlah kerana anda sudah jumpa anak-anak tangga kejayaan.
Semoga Bahagia🙂
Posted in: MyMotivation